Pantun Berbalas

Berikut adalah pantun dan balasan di antara Datin Asima Abdul Latif dan Hanizan Ponasir (Dj Wak Jawa) yang dirakamkan di “Rakan Radio KaryaFM” Datin Asima […]

Berikut adalah pantun dan balasan di antara Datin Asima Abdul Latif dan Hanizan Ponasir (Dj Wak Jawa) yang dirakamkan di “Rakan Radio KaryaFM”

Datin Asima Abdul Latiff

Hanizan Ponasir pantun daripada mama untuk orang muda ni..apa khabar?

Buah kundur di dalam raga
Pokok berpara di pohon tanjung
Semasa tidur selalu terjaga
Tuan dirasa datang berkunjung

Hanizan Ponasir

Ikan gelama masak tempoyak,
Ikan sepat buat pekasam,
Berkunjung saya Lupanya Tidak,
Kasih datang tiada padam

Datin Asima Abdul Latiff

oooo nak lawan ya

buah keraji hutan di hulu
Orang seberang mencari nangka
tuan berjanji sebulan lalu
sampai sekarang tak nampak muka

Hanizan Ponasir

buah keranji dicari-cari,
Nangka muda dimasak gulai,
dengan Mama apa yang dijanji?,
maaflah kalau saya terlalai.

Datin Asima Abdul Latiff

Kalau pergi ke Tebing Takir
Gadisnya cantik bersopan santun
Tiada janji tiada mungkir
hanya mengusik di dalam pantun

Hanizan Ponasir

Anak dara cantik tiada taranya,
Idaman jejaka seluruh kota,
kalau mengusik tiada salahnya,
ceria kita tiada duka.

Datin Asima Abdul Latiff

usik-usik ..hamba mohon diri nak bersiram

Sarapan berbekal roti perata
Kuah perisa campur kelapa
beri sejengkal dapat sehasta
dapat sehasta mahu sedepa